𝗣𝗘𝗥𝗥 𝟮𝟬𝟮𝟯 | 𝗠𝗮𝗿𝗮 𝗸𝗲 𝗽𝗲𝗻𝘁𝗮𝘀 𝗙𝗶𝗻𝗮𝗹

Terengganu FA berpeluang untuk merampas semula kejuaraan Piala Emas Raja-Raja yang kali terakhir dimenangi mereka 23 tahun lalu apabila berdepan Pahang pada final di Kuantan bulan depan.

Skuad kendalian Wan Adremy Indera Wan Adnan layak ke final untuk bertemu negeri jiran tetangga, Pahang pada 10 Disember depan di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Kali terakhir mereka menjulang trofi itu pada tahun 2000 selepas menumpaskan Selangor 3-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Pada 2018, mereka layak ke final sekali lagi tetapi dikecewakan Pahang 1-0 di Stadium Mini Temerloh.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Marzuki Sulong berkata, kejayaan mara ke perlawanan akhir amat membanggakan selepas dua lagi pasukan negeri itu turut mara ke final musim ini.

“Bermula dengan pasukan utama Terengganu FC mara ke final Piala Malaysia musim ini berdepan Johor Darul Ta’zim pada 8 Disember depan diikuti skuad TFC II yang menjuarai Piala MFL baru-baru ini selepas menumpaskan JDT II 1-0.

“Kini skuad Piala Emas Raja-Raja juga turut mara ke final, maknanya tiga pasukan dari Terengganu cemerlang dan pencapaian ini begitu membanggakan persatuan, kelab dan juga peminat setia yang boleh dirumuskan tahun cemerlang sukan bola sepak Terengganu.

“Besar harapan kami pasukan TFC dan Piala Emas Raja-Raja dapat merangkul kejuaraan sebagaimana skuad Piala MFL kendalian Hairuddin Omar,” kata Marzuki.

Terengganu layak ke final selepas menyingkirkan Kedah 3-1 secara agregat pada separuh akhir.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top