𝗧𝗔𝗛𝗡𝗜𝗔𝗛 𝗧𝗘𝗥𝗘𝗡𝗚𝗚𝗔𝗡𝗨 𝗙𝗖 𝗜𝗜 | 𝗝𝗨𝗔𝗥𝗔 𝗣𝗜𝗔𝗟𝗔 𝗠𝗙𝗟 𝟮𝟬𝟮𝟯

 

Penyu berjaya menumpaskan Harimau Selatan?

Kuala Lumpur: Pemain gantian Terengganu FC II (TFC II), Isa Rahman menjadi wira apabila berjaya meledak jaringan tunggal pada minit ke-88 sekali gus merangkul kejuaraan sulung Piala Liga Bolasepak Malaysia (MFL) 2023.

Biarpun Johor Darul Ta’zim (JDT II) menurunkan dua pemain import berstatus bintang seperti Oscar Arribas dan Shane Lowry termasuk pemain naturalisasi Malaysia, Endrick Dos Santos tetapi mereka gagal membantu Harimau Selatan untuk muncul juara dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.

Berbanding TFC II yang menurunkan lebih ramai pemain muda berjaya mendominasi permainan dan lebih berbahaya dalam perlawanan itu.

Skuad kendalian Hairuddin Omar dilihat lebih menguasai permainan di separuh masa pertama dan percubaan terbaik hadir menerusi tandukan Jordan Mintah namun penjaga gol JDT II, Zulhelmi Sharami menafikan untuk TFC II berada di hadapan.

Bersambung babak kedua, TFC II bermula dengan permainan pantas dan Muhammad Muslihuddin Atiq Mat Zaid hampir mendapatkan jaringan pertama namun Zulhelmi sekali lagi bertindak cemerlang untuk menafikannya.

JDT II yang dilihat begitu sukar menembusi pertahanan lawan mendapat peluang terbaik berpunca dari sepakan penjuru tetapi tandukan Lowry pada minit ke-58 mudah diselamatkan oleh penjaga gol TFC II, Nazirul Izamil Zulkifli.

Skuad Sang Penyu terus garang dengan melancarkan serangan bertali arus dan mendapat beberapa peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan namun barisan hadapan masih gagal memanfaatkan peluang terhidang.

Anak buah Mariano hampir memecah kebuntuan melalui sepakan percuma tetapi Nazirul berjaya menepis keluar sekali gus menafikan jaringan berkenaan.

Jaringan yang di cari akhirnya menjelma apabila pemain gentian, Isa Rahman menceriakan penyokong Terengganu apabila mengambil kesempatan atas kesilapan penjaga gol dan pemain pertahanan mereka.

Terdahulu, Piala MFL adalah edisi sulung yang menjadi rebutan 15 pasukan skuad bawah 23 (B-23) tahun musim ini dan ia adalah platfrom terbaik untuk melahirkan lebih ramai pemain muda.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top